( Cadangan Dibaca Pada 12/01/2006 )
الْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ أَحْيَا قُلُوْبَ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِيْنَ بِنُوْرِ الْعِلْمِ وَالْعِرْفَانِ، أَنْقَذَهُمْ مِنَ الْجَهَالَةِ وَسَيِّئِ اْلأَفْهَامِ. أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ مَنَحَ أُوْلِى الْعِلْمِ أَسْمَى الْغَايَاتِ وَالْمَأرِبِ، مَادَامُوْا بِالشَّرِيْعَةِ عَامِلِيْنَ، وَعَلَى الْحَقِّ سَائِرِيْنَ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ إِمَامَ الْمُهْتَدِيْنَ وَقُدْوَةَ السَّالِكِيْنَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الْمَبْعُوْثِ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِيْنَ، وَعَلَى أَلِهِ وصَحْبِهِ ذَوِى الْعِلْمِ وَالْحِلْمِ وَالْجِدِّ وَالْيَقِيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، إِتَّقُوا اللهَ أُوْصِيْكُمْ وَنَفْسِيْ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH ,
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.
SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Islam amat mementingkan soal penerokaan dan penguasaan ilmu pengetahuan bagi memantapkan keimanan dan kesejahteraan hidup manusia. Justeru, banyak firman Allah s.w.t. seperti : أَفَلاَ تَتَذَكَّرُوْنَ, أَفَلاَ تَعْقِلُوْنَ تَتَفَكَّرُوْنَ أَفَلاَ dan seumpamanya menyuruh kita supaya menggunakan akal fikiran, merenung dengan mendalam akan kekuasaan dan kebesaran ciptaan-Nya, mencari ilmu pengetahuan, menganalisis, mengkaji, menyelidik, dan mengambil iktibar daripada peristiwa dan hikmat terhadap umat masa lampau. Mereka ini terdiri dari kalangan yang dikenali sebagai ulul albab.
Bermula dari sini membolehkan kita merancang, mengurus serta membangun tamadun ummah dan negara. Melihat kepada tamadun dan kejayaan ummah dimasa lampau, maka mimbar jumaat pada hari ini ingin menyeru sidang jumaat sekelian agar menghayati tajuk khutbah : " TUNTUTAN MENEROKA ILMU DAN MEMBANGUN TEKNOLOGI ".
ٍSAUDARA KAUM MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH,
Umat Islam telah melalui zaman kegemilangan sewaktu pemerintahan kerajaan Umaiyah dan kerajaan Abasiah. Beberapa abad selepas itu, Islam telah berjaya membina ketamadunan, kegemilangan dan kejayaan mendahului barat dengan kemajuan dan penerokaan ilmu-ilmu yang baru seperti ilmu perubatan, ilmu kimia, ilmu hisab, ilmu astronomi dan sebagainya. Sesungguhnya pemacu kepada ketamadunan dan kegemilangan yang dicapai oleh Umat Islam pada ketika itu adalah di atas dasar iman dan takwa serta natijah penerokaan ilmu-ilmu yang telah dilakukan oleh ulama-ulama dan para sarjana Islam. Antara tokoh ilmuan dan para sarjana Islam yang disanjungi sehingga ke hari ini ialah Ibnu Sina, ibnu al-Haitham, Al-Farabi, Al-Biruni, Al-Khawarizmi dan lain-lain, yang mana mereka ini telah banyak berjasa dan menyumbang di dalam bidang penerokaan ilmu masing-masing. Penerokaan dan kesungguhan mereka mengkaji serta menggali isi kandungan al-Quran menjadi serampang dua mata, di samping dapat meneroka ilmu-ilmu yang tidak pernah diterokai oleh barat, hasil kajian mereka juga semakin mendekatkan diri mereka kepada Allah s.w.t.
Sains adalah salah satu cabang ilmu dalam ajaran Islam. Ia dilihat berfungsi sebagai alat yang mampu berperanan untuk memelihara lima perkara utama Maqasid Syariah iaitu memelihara agama, akal, nyawa, keturunan dan harta. Menyedari hakikat inilah para ulama Islam terawal telah bangun berusaha dengan gigih untuk menjalankan pelbagai penyelidikan dalam bidang tersebut. Berkat dengan kesungguhan mereka tamadun Islam berkembang dengan cemerlang.
SAUDARA KAUM MUSLIMIN YANG BERBAHAGIA,
Persoalannya, mengapa pencapaian gemilang umat Islam dahulu hanya tinggal kenangan ? sebaliknya umat Islam masa kini dilabelkan sebagai mundur, lemah, miskin, jumud dan pelbagai tanggapan negatif. Sedangkan ulamak terdahulu telah merintis laluan dalam bidang pengkajian masing-masing. Sewajarnya umat Islam kini meneruskan kesinambungan tersebut dengan lebih giat lagi, terutama mempelajari sains dan teknologi kerana ianya terbukti mampu menyelesaikan pelbagai masalah kehidupan manusia seperti masalah berkaitan kesihatan, kecantikan, jenayah, pertanian, teknologi angkasa, ekonomi dan sebagainya. Bahkan dengan menghayati ilmu sains dan teknologi juga dapat menambah keimanan dan ketakwaan terhadap Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya :
Yang bermaksud : (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka baring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata) : " Wahai Tuhan Kami ! tidaklah engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
( surah Ali Imran : 191 )
Justeru, jelas sains dalam Islam berpaksikan kepada tauhid ; Tunduk kepada prinsip-prinsip al-Quran yang diturunkan oleh Allah melalui rasul-Nya.
HADIRIN SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Sesungguhnya Sains berkait rapat dengan akidah dan kepercayaan. Setiap orang Islam yang mukallaf wajib menguasai asas ilmu sains. Kita juga bertanggungjawab melahirkan ulamak sains sepertimana kita melahirkan ulamak fiqh, ulamak usuluddin, ulamak tafsir, ulamak hadis dan sebagainya yang boleh menjelaskan dengan sebaik mungkin ayat-ayat al-Quran dari sudut sains. Sekiranya kita berjaya, maka kita akan dapat memperkukuhkan akidah umat Islam dan sekaligus mengungguli bidang ilmu sains.
Namun terdapat sebahagian umat Islam lebih cenderung untuk mengatakan bahawa ilmu-ilmu agama sahaja (fardhu Ain) sebagai ilmu yang perlu dituntut dan dihayati oleh umat Islam, sedangkan ilmu sains dianggap sebagai ilmu fardhu kifayah sahaja dan bukan satu budaya umat Islam. Justeru, dikira memadai hanya sebilangan sahaja umat Islam perlu mempelajari bidang ilmu ini. Bahkan ada yang berpandangan bahawa sains tidak ada kaitan dengan Islam, malah ada juga yang berpendapat bahawa sains bertentangan dengan agama.
Sebenarnya fahaman seumpama ini mesti diperbetulkan kerana fardhu kifayah tersebut hanya sekadar pembahagian bidang ilmu semata-mata bertujuan melahirkan pakar (muslim) dalam sesuatu bidang.
SAUDARA KAUM MUSLIMIN YANG DIRAHMATI ALLAH,
Pembangunan kemajuan sains dan teknologi di negara kita pada masa kini telah mencapai suatu tahap yang membanggakan, namum belum lgi setanding dengan negara-negara maju. Walaubagaimanapun beberapa universiti tempatan telah memenangi anugerah sains dan teknologi serta pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Begitu juga negara kita Malaysia telah berjaya dalam bidang penyelidikan Bio-Teknologi berasaskan kelapa sawit secara optimum untuk kegunaan manusia, haiwan dan automatif.
Tetapi sebenarnya masih banyak lagi usaha pembangunan yang perlu dilakukan terutama sekali dalam bidang perubatan, petroleum, kejuruteraan, aero angkasa, ketenteraan, industri asas tani, sektor pembuatan dan sebagainya. Kesemua ini menuntut pengorbanan anak-anak watan supaya berusaha dengan lebih gigih dan tekun agar berjaya menguasai kepakaran-kepakaran tertentu dalam pelbagai bidang terutama bidang-bidang kritikal (perubatan dan kejuruteraan) dan lain-lain yang diperlukan oleh negara. Seterusnya penerokaan ilmu dan penyelidikan yang berterusan dapat dilakukan demi kepentingan negara dan faedah rakyat umumnya. Firman Allah s.w.t, :
Maksudnya : “ Dan tidaklah ( betul dan elok ) orang-orang yang beriman keluar semuanya ( pergi berperang ), oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak diantara mereka, supaya orang-orang ( yang tinggal ) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut didalam Agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaum mereka ( yang keluar berjuang ) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga dari melakukan larangan Allah ) .
( ٍSurah At-Taubah : 122 )
HADIRIN SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Kedatangan Islam ke Tanah Melayu sekitar abad ke 7 Masehi telah banyak mempengaruhi sikap dan pemikiran masyarakat Melayu di nusantara. Islam yang dijadikan cara hidup telah berjaya mengubah pandangan masyarakat yang sebelum ini melihat Islam hanya untuk ibadat sahaja, sedangkan ia adalah satu agama yang sempurna lagi menyeluruh, merangkumi semua sistem hidup insan, termasuklah dalam aspek sains dan teknologi.
Kewajiban menuntut ilmu dalam Islam telah menyemarakkan lagi penubuhan dan perkembangan institusi pendidikan di Tanah Melayu. Kemuncaknya lahirlah tokoh-tokoh ulamak Melayu terkemuka yang menguasai bidang-bidang ilmu sains seperti bidang ilmu falak ; antaranya Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin, Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidek yang dikenali sebagai Syeikhul Islam Kedah, Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad yang dikenali sebagai Tok Kenali dan Haji Mohd Khair bin Taib dan ramai lagi.
Menyedari perihal kepentingan penguasaan ilmu sains dan teknologi, kerajaan telah menubuhkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan juga memberi keutamaan dengan peruntukan kewangan yang besar bagi memajukan bidang penyelidikan dan pembangunan (R & D).
Disamping itu, kerajaan juga menyediakan biasiswa bagi melanjutkan pengajian di bidang sains dan teknologi serta penubuhan universiti-universiti berasaskan sains dan teknologi seperti Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Universiti Multimedia, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan seumpamanya. Begitu juga penerokaan bidang Aero Angkasa dengan pelancaran satelit MEASAT 3 dan penghantaran angkasawan negara menjalani latihan di Russia.
Justeru, sempena Pameran Kegemilangan Sains Dalam Tamadun Islam- Islam Mendahului Zaman yang telah dilancarkan Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) pada 8 Januari 2007 yang lalu, maka, mimbar Jumaat sekali lagi menyeru para jamaah dan seluruh umat Islam supaya merebut peluang keemasan ini bagi melengkapkan diri dengan menguasai bidang sains dan teknologi untuk memajukan agama, bangsa dan negara.
SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Oleh itu, marilah sama-sama kita mengorak langkah menghadapi situasi ini dengan penuh kesungguhan untuk menjadikan masyarakat kita sebagai masyarakat yang berdaya saing, produktif dan inovatif seiring dengan perkembangan teknologi global.
Kesimpulannya beberapa pengajaran boleh diambil seperti berikut : -
1. Islam adalah agama yang sentiasa menganjurkan umatnya mengejar kejayaan dan kemajuan di dunia dan akhirat.
2. al-Quran sememangnya mahu umat Islam memiliki minda yang saintifik, kuat berfikir, kritis, mampu menganalisis data dan fakta serta mampu membuat andaian dan rumusan terhadap apa yang dicerap.
3. Umat Islam seharusnya merasa bangga dan mencontohi tokoh-tokoh ilmuan dan para sarjana Islam kerana merekalah yang mempelopori ilmu baru yang menjadi tunjang kemajuan sains dan teknologi kini.
4. Penemuan-penemuan baru hasil dari penerokaan ilmu seharusnya mendekatkan diri serta meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t serta boleh membawa manfaat kepada seluruh alam.
5. Masyarakat yang berilmu adalah masyarakat yang mampu membina keutuhan ummah menepati ciri-ciri khalifah Allah di muka bumi sebagaimana yang dicita-citakan dalam prinsip-prinsip Islam Hadhari.
اعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
Maksudnya : Katakanlah ( wahai Muhammad) : " kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan . "
( Surah al-Kahfi : 109 )
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَ الذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَات فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.
Sabtu, 20 Maret 2010
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar