Sabtu, 20 Maret 2010

PANDUAN DAN BATASAN SYARIAT DALAM MEMBENARKAN HIBURAN NYAYIAN

Oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi.

Di sini, kami tidak lupa untuk menambah beberapa panduan dan batasan yang perlu diambil kira sehingga nyanyian kekal dalam hukum halal. Antaranya:

1-Lirik lagu hendaklah bebas dari segala penyelewengan syariat

Kami tegaskan di sini bahawa bukan semua nyanyian hukumnya harus. Nyanyian yang harus hendaklah mempunyai tema yang bertepatan dengan ajaran Islam, tidak bercanggah dengan aqidah, syariat mahupun akhlak Islam.

Oleh itu kita tidak dibenarkan untuk menyanyi syair Abu Nuwwas yang menyebut:

Biarkanlah celaanku, kerana celaan adalah satu godaan,
Berikanlah aku penawar dari punca kesakitan itu sendiri.

Juga tidak boleh dinyanyikan kata-kata Syauqi:

Ramadhan berlalu, maka datangkanlah ia wahai penuang-penuang arak
Jiwa yang rindu ingin segera bertemu dengan kerinduannya

Ini kerana syair di atas jelas menyeru kepada arak yang dianggap oleh Islam sebagai ibu segala maksiat.

Lebih membahayakan lagi, kata-kata Iliyaa’ Abu Madhi yang bekata dalam satu qasidahnya yang bertajuk at-Tolaasim (mentera atau jampi serapah):

Aku tak mengetahui dari mana asalku, tetapi aku tetap datang!
Aku melihat langkah mereka yang terdahulu lalu aku melangkah!
Aku akan terus mara berjalan sama ada aku suka ataupun tidak!
Bagaimana aku datang? bagaimana aku melihat perjalananku?, aku pun tidak tahu!
Kenapa aku tidak tahu? Aku sendiri pun tidak tahu.

Dalam syairnya ini, dia seolah-olah menimbulkan keraguan terhadap asas keimanan iaitu permulaan hidup, tempat kembali dan soal-soal kenabian.

Antaranya juga lagu berbahasa arab pasar yang bertajuk `Min Ghair Leh’ (tanpa sebarang alasan), kerana ia nerupakan terjemahan syak wasangka Abu Madhi ke dalam bahasa pasar agar pengaruh dan kesannya bertambah.

Begitu juga dengan lagu yang mengandungi perkara haram juga ialah nyanyian yang bertajuk: Dunia hanyalah antara rokok dan gelas (arak). Semua ini berlawanan dengan ajaran Islam yang telah melabelkan arak sebagai najis dan amalan syaitan. Islam melaknati peminum arak, pemerahnya (pengilangnya), penjualnya, pembawanya dan semua pihak yang memberikan saham kepadanya. Rokok pula membahayakan badan, jiwa dan harta. Ia juga termasuk dalam perkara buruk yang diharamkan .

Antaranya juga, lagu-lagu yang memuji-muji pemerintah yang zalim, taghut (melampaui batas) dan fasik yang sedang berleluasa dalam umat kita sekarang. Lagu-lagu sebegini juga bertentangan dengan ajaran Islam. Islam melaknat golongan zalim dan setiap pihak yang membantu bahkan siapa sahaja yang mendiamkan diri dengan kezaliman. Bagaimana pula dengan orang yang memuja dan mengagungkan mereka? Sudah tentu lebih jelas pengharamannya.

Lagu-lagu yang memuji lelaki atau perempuan yang bermata galak atau ghairah adalah juga bercanggah dengan adab-adab Islam yang menyeru:

    
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram).(An-Nur: 30).

Dan juga firman-Nya:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram).(An-Nur: 31)

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

يَا عَلِيُّ! لاَ تُتْبِعْ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ فَإِنَّ لَكَ اْلأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ اْلآخِرَةُ

Wahai Ali, janganlah kamu ulang pandang selepas pandangan yang pertama, kerana pandangan pertama adalah untukmu tetapi pandangan kedua bukan untukmu (bahkan dosa ke atasmu).

2-Persembahan Yang Tidak Melampau Dan Menggoda

Gaya persembahan juga mempunyai kesan dan kepentingannya. Terdapat lagu yang mana liriknya tidak bermasalah namun cara ia dipersembahkan oleh penyanyi lelaki atau wanita telah mengeluarkannya dari zon halal kepada zon haram, syubhat ataupun makruh. Mereka sengaja memanja-manjakan vokal mereka dan menghairahkan lengguk badan semata-mata untuk membangkitkan syahwat yang dibendung dan menggoda jiwa yang lemah..

Jenis nyanyian sebeginilah yang menjadi fenomena masakini, diminati bahkan digilai oleh para penonton dan pendengar dari siaran tv ataupun radio arab (dan mana-mana radio/TV di seluruh dunia). Hampir semua nyanyian bertumpu kepada aspek tarikan seksual dan segala apa yang berkaitan dengan cinta dan asmara. Ia hanya bertujuan untuk menaikkan keghairahan dan gelora jiwa khususnya di kalangan muda mudi.

Naluri seksual ini adalah perkara yang amat dominan sehingga ada pakar psikologi yang menafsirkan seluruh tabiat manusia dengannya. Naluri seksual sebegini sepatutnya dimartabatkan dan dimuliakan (dengan adab Islam) bukan dibangkit dan dinyalakan dengan perkara-perkara yang menghairahkan.

Al-Quranul Karim memberi arahan kepada isteri-isteri Rasululah dengan ayat:



       

Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu).(Al-Ahzaab: 32).

Bagaimana jika memanjakan dan menghairahkan suara dengan iringan irama, melodi, tarian? (Tentunya adalah lebih diharamkan).

3. Nyanyian tidak bercampur dengan perkara yang haram.

Aspek ketiga ialah: Nyanyian tidak bercampur dengan perkara yang diharamkan seperti minum arak, menagih dadah, muzik yang menghairahkan seperti yang mengiringi lagu-lagu barat masa kini, antaranya yang berkonsep budaya hippies (hip-hop) dan seumpamanya. Begitu juga muzik yang mengiringi nyanyian yang diharamkan yang mana dengan menyanyikan lagu tersebut akan menyebut secara langsung perkara haram tersebut. Contohnya lagu yang menyebut perkataan lucah, berhias dan pergaulan bebas lelaki dan wanita tanpa ikatan dan had. Inilah yang biasa berlaku dalam konsert dan majlis-majlis nyanyian semenjak dahulu lagi, sehingga apabila disebut sahaja majlis nyanyi-nyanyian, gambaran yang datang secara langsung di dalam minda ialah: Arak, dayang-dayang dan perempuan.

Situasi sebeginilah yang dimaksudkan oleh hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan lain-lain:

لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا يُعْزَفُ عَلَى رُءُوسِهِمْ بِالْمَعَازِفِ وَالْمُغَنِّيَاتِ يَخْسِفُ اللهُ بِهِمْ اْلأَرْضَ وَيَجْعَلُ مِنْهُمْ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ
Umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan nama yang lain. Mereka dialunkan oleh muzik dan penyanyi-penyanyi. Allah akan membinasakan mereka dan menjadikan sebahagian mereka beruk-beruk dan babi-babi.

Ingin saya menarik perhatian di sini bahawa: Pada zaman dahulu, untuk mendengar nyanyian, seseorang perlu pergi ke majlis-majlis nyanyian dan bercampur gaul dengan golongan artis dan pembantu-pembantu mereka. Jarang terdapat majlis sebegitu yang bebas dari perkara-perkara yang diingkari syariat dan agama.

Namun pada zaman ini, keadaannya sudah berbeza. Seseorang boleh mendengar lagu dalam keadaan berjauhan dari khalayak dan majlis tersebut. Tidak syak lagi bahawa ini adalah satu elemen yang boleh meringankan hukum dalam isu ini. Ia boleh menyebabkan hukum nyanyian lebih kepada zon diizinkan dan dipermudahkan, jika bebas dari segala kemungkaran.

4-Tidak Berlebih-lebih Dalam Mendengar Nyanyian

Seperti perkara-perkara harus yang lain, nyanyian hendaklah dihadkan agar tidak berlebihan. Allah s.w.t. telah berfirman:

                
Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. (Al-Aa’raf: 31)

Dalam satu hadis, Rasulullah bersabda:

كُلُوا وَاشْرَبُوا وَالْبَسُوا وَتَصَدَّقُوا فِي غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلاَ مَخِيلَةٍ

Makanlah, minumlah, bersedakah dan berpakaianlah tanpa berlebihan dan sombong

Di sini, Rasulullah mengikat keharusan melakukan perkara yang halal dengan dua jenis ikatan:

Pertama:Ikatan zahir iaitu aspek kuantiti: Menjauh sikap berlebih-lebih dan membazir.

Kedua: Ikatan dari segi kualiti: Jauh dari kesombongan, meninggi diri dan berbangga ke atas orang lain. Allah tidak menyukai orang yang sombong dan bermegah-megah.

Mengelakkan pembaziran adalah dituntut dalam segala perkara harus. Tuntutannya lebih kuat dalam hal hiburan, terutamanya bidang nyanyian yang diiringi muzik ataupun tidak, khasnya lagu-lagu sentimental yang hanya menbicarakan berkenaan cinta dan kerinduan.

Manusia bukan hanya sudut emosi dan emosi pula bukan semuanya cinta. Cinta pula bukan hanya kepada perempuan sahaja dan perermpuan pula bukannya hanya jasad dan nafsu sahaja.

Oleh kerana itu, kita perlu mengurangkan jenis nyanyian sentimental dan asmara yang melimpah ruah di pasaran sekarang ini. Kita perlu mengatur nyanyian, program dan kehidupan yang seimbang dan saksama antara agama dan dunia.

Aspek keduniaan perlu diseimbangkan antara hak peribadi dan hak masyakarat. Aspek aspek peribadi pula perlu diseimbangkan antara hak akal dan hak emosi.

Dalam aspek emosi, ia perlu juga diseimbangkan antara seluruh emosi-emosi lain sama ada emosi cinta, benci, ghairah, semangat, kebapaan, keibuan, keanakan, persaudaraan, persahabatan dan lain-lain lagi.

Sifat keterlaluan dan berlebih-lebihan dalam meluahkan satu bentuk emosi sahaja akan mengatasi kepentingan emosi-emosi yang lain. Ia akan mengatasi kewarasan fikiran, roh dan kehendak, mengatasi kepentingan, ciri-ciri dan rukun masyarakat, juga ke atas nilai-nilai dan ajaran agama.

Oleh itu agama melarang perbuatan melampau dan membazir dalam setiap perkara sehingga dalam perkara ibadat. Jika begitu, tentunya ia lebih dilarang dalam konteks berhibur atau menghabiskan masa dengannya, walaupun hukum asalnya adalah harus.

Perbuatan ini menandakan akal dan jiwa yang kosong, lalai dari melakukan kewajiban-kewajiban besar dan tujuan-tujuan yang lain. Ia juga menunjukkan bahawa dia telah mencuaikan banyak hak-hak yang perlu dilakukanya, tambahan dengan singkatnya tempoh dan umur manusia di dunia.

Alangkah benar dan mendalamnya maksud kata-kata Ibnu Muqaffa’:

“Aku tidak melihat berlakunya satu pembaziran melainkan ada suatu hak yang telah diabaikan”.

Dalam hadis riwayat Ibnu Hibban dan kitab Suhuf Nabi Ibrahim ada menyebut:

“Seorang yang waras perlu menumpukan perhatiannya kepada tiga perkara: Mencari kehidupan duniawi, mencari bekalan untuk hari akhirat atau keseronokan yang tidak diharamkan.”

Oleh itu marilah kita bahagi-bahagikan waktu kita secara adil antara tiga-tiga perkara ini. Hendaklah kita ketahui bahawa Allah akan mempersoalkan setiap manusia berkenaan umurnya, kemanakah dihabiskannya?, juga berkenaan masa mudanya, apakah yang dilakukan dengannya?

Imam al-Ghazali mempunyai pendapat yang baik dalam kitab Ihyaa’ nya berkenaan halangan yang boleh menukarkan hukum nyanyian yang harus kepada haram:

Beliau menyebut halangan kelima iaitu:

“ Pendengar dari masyarakat awam yang tiada unsur kecintaan kepada Allah tetapi amat menggemari nyanyian dan dia tidak terpengaruh kepada sebarang unsur syahwat. Ketika ini nyanyian yang asalnya haram untuknya akan menjadi harus sepertimana lain-lain perkara harus yang menyeronokkan. Namun apabila dia menjadikan nyanyian sebagai siulannya dan dia meninggalkan kewajiban yang lain (kemaruk), dia tergolong dari kalangan orang dungu yang tertolak persaksiannya.

Sifat ingin sentiasa berhibur adalah satu jenayah. Dosa kecil akan menjadi besar jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan terus menerus. Begitu jugalah keadaannya dengan sebahagian perkara harus yang lain. Terus menerus melakukannya akan menjadikannya dosa walaupun dalam skala yang kecil. Contohnya: Sentiasa berhibur mendengar nyanyian dan tarian kaum Afrika dan Habsyi secara berterusan. Ia adalah dilarang walaupun pada asalnya tidak haram kerana Rasulullah sendiri melakukannya.

Antara contoh yang sama dalam hal ini ialah bermain catur yang diharuskan oleh syarak. Namun apabila terus menerus dimainkan, hukumnya akan bertukar menjadi makruh yang amat dibenci. Sekiranya tujuan sesuatu permainan adalah untuk berseronok dan berhibur, ia diharuskan kerana ia dapat merehatkan hari. Kerehatan hati akan menjadi penawar kepadanya dalam beberapa keadaan, membangkitkan semula semangatnya lalu mendorongnya untuk berusaha lebih gigih sama ada dalam urusan dunia seperti mencari pendapatan dan berniaga, ataupun dalam perkara agama seperti sembahyang dan membaca al-Quran.

Kebaikan sebegini akan dapat dihayati apabila dilakukan berselangan dengan perkara-perkara serius. Ia umpama tahi lalat di pipi yang boleh memaniskan wajah seseorang, tetapi jika bilangan terlampau banyak, wajah akan bertukar menjadi hodoh. Alangkah buruknya jika ia berlaku. Begitulah juga dalam masalah ini. Kebaikan pada asalnya akan bertukar menjadi buruk kerana terlalu banyak dilakukan.

Bukan setiap perkara elok akan kekal elok apabila dilakukan secara banyak dan berterusan. Begitu juga perkara yang harus. Malah roti adalah harus, namun apabila dimakan secara melampau akan menjadi haram (kepadanya). Begitu jugalah seluruh perkara harus yang lain .

Tuan Guru an-Nablusi dalam kitab yang bertajuk Idohul Aalat berkata:

“Muzik dan nyanyian yang bercampur dengan arak, zina, liwat ataupun bibit-bibitnya seperti sentuhan ghairah, ciuman, pandangan bernafsu kepada bukan isteri, atau sekadar berazam untuk melepaskan syahwat yang diharamkan atau berkhayal melakukannya dan berangan-angan untuk berada dalam majlis sebegitu, semuanya adalah perkara yang diharamkan. Haram mendengarnya kerana tujuan dan niat tersebut adalah haram. Ia hanya akan mendorongnya melakukan perkara haram yang ada dalam majlis itu, atau perkara haram yang diingininya dalam ilusinya dan dia juga sentiasa membayangkan dia berada di majlis seperti itu. Perkara yang membawa kepada haram adalah haram.

Sekiranya tujuan sebegini merupakan kebiasaan di zaman ini, kita tetap tidak boleh menghukum dengan menggunakan firasah dan jangkaan sahaja lalu memfasikkan seorang umat nabi Muhammad s.a.w.. Kita tidak boleh menghukum seseorang kecuali jika perkara yang haram itu jelas berlaku di hadapan mata di mana sudah tidak ada kemungkinan dan takwil yang lain lagi.

Mungkin ada orang yang akan berkata: Cetusan hati untuk melakukan syahwat yang haram seperti zina, minum arak dan sebagainya (dan ia tidak dilaksanakan) sebenarnya tidak memberikan dosa kepada pelakunya dari segi syarak. Inilah yang diputuskan oleh para ulama’ dalam tajuk-tajuk yang berkaitan dengannya. Oleh itu, bagaimana pengharusan nyanyian bersyarat dengan tiadanya cetusan hati yang diharuskan oleh syarak ini? Ada contoh perkara ini dari segi syarak?.

Jawabnya: Ya. Cetusan hati sebegini tidak membawa dosa kepada seseorang sekiranya ia terbuku di hati dan hati masih berbelah bahagi sama ada untuk melakukannya ataupun tidak, selagi tidak menjadi satu keazaman. Namun apabila seorang hamba mendengar nyanyian lalu hatinya bergelora, azamnya menjadi kuat dan syahwatnya mula menyala, ketika itu dia tidak berupaya lagi untuk menolaknya. Ketika itu dia akan melakukan perkara yang dimahukan oleh nafsunya itu, sekiranya dia mampu.

Kita ikatkan perkataan `syahwat’ di sini dengan `yang diharamkan’ semata-mata untuk mengecualikan syahwat yang diharuskan. Contoh syahwat yang diharuskan ialah makanan dan minuman halal yang lazat, perkahwinan (persetubuhan) dengan isterinya dan lain-lain lagi. Cetusan hati kepada syahwat yang halal sebegini sekiranya ia berlaku ketika mendengar nyanyian, tidak akan mengharamkan nyanyian tersebut. Malah nyanyian akan kekal dengan hukum harusnya”


5. Berkaitan Dengan Pendengar

Selepas penjelasan ini, tinggal lagi beberapa perkara atapun zon-zon tertentu yang berkaitan dengan pendengar. Perkara sebegini tidak tertakluk dalam sebarang fatwa ataupun disiplin tertentu secara terperinci, malah ia terserah kepada hati dan ketaqwaan seseorang. Para pendengar adalah orang yang lebih faham keadaan dirinya dan lebih layak menjadi mufti (pemutus) kepada dirinya sendiri.

Setiap orang mengetahui dirinya, arah fikiran dan cetusan hatinya, lebih dari orang lain. Sekiranya nyanyian ataupun jenis-jenis tertentu darinya boleh menyalakan emosinya dan mendedahkannya kepada fitnah dan kejahatan, menyebabkannya berenang di alam fantasi dan memuncakkan nafsu kebinatangannya melebihi sudut spiritual, ketika itu dia perlu meninggalkannya. Dia perlu menutup pintu yang mungkin didatangi oleh angin fitnah kepada hati, agama dan akhlaknya. Hanya ketika itu sahaja, dia akan terselamat dari fitnah. Inilah yang digambarkan oleh sebuah hadis nabi:

الْبِرُّ مَا سَكَنَتْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَاطْمَأَنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ. وَاْلاءثْمُ مَا لَمْ تَسْكُنْ إِلَيْهِ النَّفْسُ وَلَمْ يَطْمَئِنَّ إِلَيْهِ الْقَلْبُ وَإِنْ أَفْتَاكَ الْمُفْتُونَ
Kebaikan ialah apa yang ditenterami oleh jiwa dan ditenangi oleh hati sedangkan dosa ialah perkara yang tidak ditenterami oleh jiwa dan tidak ditenangi oleh hati, walau apapun yang telah difatwakan oleh orang-orang yang memberikan keputusan.

Inilah yang cuba ditegaskan oleh Imam al-Ghazali dalam al-Ihyaa’ ketika menyebut dalil pengharusan dari aspek nas dan maqasid syariah. Kemudian beliau menyebut halangan kepada nyanyian yang menukarkan hukum harus kepada haram. Beliau berkata:

Halangan keempat adalah dari diri pendengar itu sendiri. Jika pendengar seorang pemuda yang mudah dikuasai oleh nafsu syahwat dan sifat ini lebih menonjol dari sifatnya yang lain. Mendengar nyanyian adalah haram baginya sama ada dia dikuasai perasaan cinta kepada seseorang ataupun tidak. Orang yang sebegini akan bangkit syahwatnya walaupun dengan hanya mendengar sifat rupa paras, pipi, perpisahan dan percintaan dan sebagainya. Dia sentiasa mengkhayalkan imej-imej yang tertentu lalu syaitan meniupkan api syahwat ke dalam hatinya yang akan mendorongnya kepada kejahatan.

Keadaan ini merupakan bantuan kepada kumpulan syaitan dan satu kekecewaan kepada yang menjadi batu penghalang kepada kumpulan Allah. Pertarungan antara tentera syaitan (syahwat) dan tentera Allah (cahaya akal) akan sentiasa berlaku di dalam hati, kecuali dalam hati yang telah dikuasai oleh salah satu pihak secara total.

Kini, kebanyakan hati telah dimenangi dan dikuasai oleh tentera syaitan. Justeru, pertarungan ini belum selesai. Ia perlu disambung semula untuk menggugat dan menghalangnya dari memperbaharui senjata, pedang dan segala peralatannya. Bidang nyanyian adalah merupakan pengasah senjata syaitan kepada orang yang sebegini. Oleh itu dia sepatutnya meninggalkan keseluruhan nyanyian kerana ia akan memudaratkannya.


Sumber: Fiqhul Ghina’ wal Musiqi fi Duil Quran was Sunnah.-(Feqah Nyayian dan Muzik berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah)-Oleh Syeikh Dr Yusuf Abdullah al-Qardhawi.

-Artikel ini diambil dari http://www.bukitbesi.net

Tidak ada komentar:

Posting Komentar