Rabu, 31 Maret 2010

Pembaharuan Undang-Undang Keluarga Islam di kalangan masyarakat Islam

Dari meja Pengarang

Selamat datang ke terbitan pertama BARAZA!, buletin Sisters In Islam (SIS) yang disiarkan dua kali setahun. Buletin ini membawakan artikel-artikel semasa dan terkini yang melibatkan masyarakat Islam hari ini, dengan fokus kepada hak-hak wanita dalam Islam dan aktiviti-aktiviti SIS yang terkini.
Kenapa BARAZA!? Menurut kamus Arab moden Hans Wehr, Dictionary of Modern Written Arabic, baraza bermakna “melangkah ke depan, membangunkan diri, menyerlahkan diri, menampilkan diri, , memperlihatkan keteguhan, menunjukkan kekuatan, menjadi cemerlang, gigih mencapai kecemerlangan, memberi saingan, mengemukakan pandangan,memberikan pendapat kepada masyarakat ,menghadirkan diri.” Pada abad-abad awal Islam, seorang wanita baraza ialah seorang wanita yang tidak menyembunyikan wajahnya dan tidak menundukkan kepalanya; wanita yang mempunyai pertimbangan, pandangan, atau pendapat yang baik dan adil, dikenali kerana aqlnya. Wanita baraza ialah seorang wanita yang kehadirannya disedari masyarakat dan yang menerima tetamu di kediamannya.
Pada kami di SIS, contoh wanita BARAZA yang terunggul ialah Sukayna binti Hussein, cicit Nabi Muhammad (saw) yang juga cucu kepada anak perempuannya, Fatimah, dengan Khalifah Islam yang keempat iaitu Ali bin Abu Talib. Kisah hidup wanita-wanita pada zaman awal Islam meraikan semangat berdikarinya, kebijaksanaan, kecantikan dan kecerdikannya. Beliau sering berdebat dengan lelaki-lelaki yang berpengaruh tentang isu-isu politik dan sosial semasa, dan menolak lamaran mereka untuk berkahwin. Beliau menceburi minatnya terhadap kesusasteraan, dan mengundang para penyair dan sasterawan ke kediamannya. Beliau telah berkahwin beberapa kali dan terkenal kerana kontrak perkahwinannya, yang antara lain menetapkan syarat bahawa beliau tidak akan akur kepada suaminya, mempunyai kawalan penuh terhadap hidupnya sendiri dan suaminya tidak dibenarkan mengamalkan poligami. Dia juga meletakkan syarat bahawa sekiranya suaminya melanggar mana-mana satu syarat-syarat tersebut, suaminya hendaklah menceraikan beliau pada bila-bila beliau kehendaki.
Sukayna merupakan satu tokoh yang telah dilupakan tradisi dunia Islam. Dunia memandang wanita Islam hari ini sebagai tertindas, didiskriminasikan, mundur dan telah ditakdirkan menderita dalam diam. Atas nama agama dan undang-undang shariah, wanita dilihat sebagai berkedudukan lebih rendah dari lelaki. Na'uzubillah, sekiranya wanita tersebut seorang yang berani, berdikari, lantang bersuara dan memperjuangkan hak-haknya, dia akan dikecam sebagai keBaratan dan tidak Islamik.
Dalam menjalankan tugas-tugas kami, SIS mendapati bahawa realiti kehidupan wanita hari ini bertentangan dengan imej yang dipegang oleh masyarakat mengenai ciri-ciri seorang wanita Muslim ideal. Dalam abad ke-21, kumpulan-kumpulan wanita menerajui cabaran berdepan dengan pihak berkuasa agama yang berfahaman tradisional dan pergerakan politik Islamis; yang menggunakan Islam sebagai alasan tentang kedudukan wanita yang rendah, dan yang paling membimbangkan, mempergunakan isu ketaqwaan kepada perintah Allah untuk menenggelamkan suara-suara yang mempunyai pandangan yang bertentangan.
Dalam isu sulung BARAZA! ini, SIS memilih untuk memberikan tumpuan kepada pembaharuan Undang-Undang Keluarga Islam untuk mencerminkan keadilan dalam Islam. Jika keadilan merupakan satu-satunya objektif utama shariah, bukankah prinsip ini perlu ditonjolkan dalam undang-undang yang menyelaraskan perhubungan dan hak-hak di antara suami dan isteri?
Kerangka perundangan perkahwinan Islam klasik dipengaruhi oleh logik kontrak jual beli. Sebagai pertukaran kepada mas kahwin, isteri diletakkan di bawah kuasa suami. Asas kepada kontrak perkahwinan tersebut ialah penyerahan isteri sepenuhnya (tamkin), yang didefinisikan sebagai kesediaan dari segi seksual pada bila-bila masa sahaja, yang disifatkan sebagai hak suami dan tugas isteri, sebagai pertukaran kepada sara hidup/nafkah (nafaqa), yang bermakna tempat kediaman, makanan dan pakaian, yang dianggap hak isteri dan tugas suami.
Memandangkan hakikat dan kehidupan masyarakat kita hari ini yang begitu kompleks, konsep perkahwinan yang sedemikian tidak lagi boleh digunapakai. Abad ke-20 memperlihatkan pembaharuan yang perlahan-lahan terhadap undang-undang berkenaan status peribadi di kebanyakan negara dunia Islam bagi menangani masalah-masalah ketidakadilan dan penderitaan wanita. Pendekatan umum tertumpu kepada menambah syarat-syarat kepada kontrak perkahwinan untuk melindungi hak-hak wanita, dan memperbaharui peraturan substantif terutamanya dalam hal poligami dan perceraian bagi mengurangkan diskriminasi dan kesulitan yang dihadapi oleh kaum wanita.
Walaubagaimanapun, pendekatan sedemikian masih kurang memuaskan kerana ianya hanyalah satu pendekatan ‘menampal’ untuk memperbetulkan kontrak yang sememangnya mempunyai banyak kekurangan, dan yang berdasarkan tanggapan-tanggapan yang tidak berlandaskan realiti hari ini. Dalam era globalisasi dan kemudahan yang luas terhadap pendidikan, konsep tradisi lelaki sebagai pelindung dan penyara, dan wanita sebagai suri rumahtangga yang tunduk kepada perintah bukan lagi model perkahwinan Islam yang sesuai dan relevan. Dinamik alam hubungan rumahtangga telah jauh berubah memandangkan lebih wanita dapat mengatasi lelaki dalam bidang akademik, dengan lebih ramai wanita menjadi lebih berdikari dari segi kewangan dan menyumbang kepada perbelanjaan keluarga.
Berdasarkan perubahan hakikat ini, asas undang-undang perundangan kekeluargaan Islam juga perlu diubah. Ini bukan bermaksud bahawa undang-undang keluarga Islam dan andaian tradisional itu salah atau tidak benar. Ulama terdahulu berpandukan keadaan semasa pada ketika itu. Dalam zaman dan keadaan yang berbeza yang mempengaruhi kehidupan lelaki dan wanita hari ini, kerangka perundangan perhubungan perkahwinan perlu perubahan.
Dalam dunia moden yang dikuasai paradigma etika keadilan, kesaksamaan, kebebasan dan harga diri, Al Quran begitu kaya sekali dengan prinsip-prinsip yang membimbing ke arah memperkembangkan perundangan perkahwinan yang berdasarkan prinsip keadilan dan kesaksamaan. Baru-baru ini, negara Maghribi telah memperbaharui undang-undang keluarganya untuk mencapai objektif tersebut.
Begitu juga dengan negara-negara seperti Tunis dan Turki. Indonesia juga baru sahaja menggubal satu draf model undang-undang baru – satu Undang-undang Keluarga Islam baru yang berdasarkan ayat-ayat Al Quran mengenai kesaksamaan hak di sisi Allah swt; perhubungan yang berdasarkan prinsip saling melindungi diantara lelaki dan wanita (At-Taubah 9:71), mengenai lelaki dan wanita sebagai pakaian yang saling melengkapi (al-Baqarah 2:187) – yang memberi satu landasan yang kukuh ke arah pembaharuan.
Keperluan kepada pembaharuan ini, yang sejajar dengan ajaran-ajaran Islam, akan membolehkan masyarakat Islam hidup dalam keadaan yang berlandaskan ajaran agamanya dalam konteks hakikat mereka yang kian berubah.
Zainah Anwar
Pengarah Eksekutif
Sisters in Islam

Pembaharuan Undang-Undang Keluarga Islam di kalangan masyarakat Islam

Pada awal bulan April tahun ini, seorang professor dari Universiti Malaya mengulas bahawa seorang bapa boleh memaksa anak perempuannya untuk berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya tanpa kerelaan anak perempuan tersebut, dan perkawinan tersebut sah menurut Islam. Pada masa yang sama, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 1983 (EUKI) menyatakan bahawasanya tertakluk kepada beberapa syarat tertentu, seorang wanita yang masih anak dara, yang mana walinya adalah wali mujbir (samada bapa kandung atau datuk sebelah bapa) boleh dinikahkan tanpa persetujuan dari wanita itu sendiri.

Walau bagaimanapun, pada penghujung minggu yang sama, pihak berkuasa tertinggi agama Kerajaan Arab Saudi telah menegah amalan kahwin paksa (menikahkan wanita tanpa persetujuannya), dengan alasan bahawa amalan tersebut bertentangan dengan peruntukan shariah. Para ulama berpendapat sesiapa yang memaksa seseorang wanita itu berkahwin tanpa kerelaan adalah mengingkari perintah Allah swt dan Rasulnya, dan amalan tersebut adalah satu ketidakadilan yang nyata dan tidak menepati ciri-ciri dan nilai-nilai dalam Islam. Kaedah undang-undang di negara-negara seperti Algeria, Iraq, Syria, Jordan, Morocco, Philipina dan beberapa negeri dalam Malaysia juga menegah amalan ijbar.

Jika terdapat kaedah undang-undang di kebanyakan negara yang menegah amalan ini, persolannya kenapa amalan ini dibenarkan sebagaimana komen yang diberikan oleh professor dari Universiti Malaya dan peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 1983?

Persoalan ini menjadi topik perbincangan dalam dunia Islam, di mana, setelah fiqh yang dirumuskan dalam mazhab-mazhab utama semenjak abad-abad yang laluditerima sebagai doktrin undang-undang yang muktamad, pembaharuan terkini terhadap undang-undang sedang cuba mengembalikan semula semangat dan ajaran Al Quran dan Sunnah yang sebenar.

Sejarah dan Perkembangan Undang-Undang Islam

Perkembangan Undang-Undang Islam boleh dibahagikan kepada beberapa jangkamasa. Pada peringkat awal perkembangannya, undang-undang shariah merupakan ajaran yang diwahyukan kepada Rasulullah saw, yang mana ajaran tersebut telah mereformasikan amalan, cara hidup dan kebudayaan umat ketika zaman pra Islam, termasuk yang berkaitan dengan wanita dan keluarga (rujuk Jadual 1). Di zaman pemerintahan Khalifah al-Rashidin pula, amalan undang-undang yang di ikuti ialah ajaran Al Quran dan Sunnah, amalan-amalan dari Rasulullah saw serta dua sumber undang-undang tambahan iaitu ijma’ dan qiyas.

Dalam jangkamasa 400 tahun, hadith–hadith telah dikumpul dan sains pengajian hadith (ulum al-hadith) telah berkembang. Wujud juga mazhab-mazhab yang menjadikan fiqh, iaitu usaha pentafsiran ulama-ulama (ijtihad) terhadap Quran dan Sunnah, sebagai kanun. .Selepas era ini berakhir, pintu ijtihad dianggap sudah tertutup. Ulama- ulama tidak lagi bebas memberikan pentafsiran sendiri terhadap shariah, tetapi patuh kepada doktrin taqlid, iaitu berlandaskan kepada fiqh yang termaktub dalam salah satu mazhab utama. Dengan itu, empat mazhab utama iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali menjadi asas kepada kebanyakan undang-undang fahaman Sunni di dalam dunia Islam hari ini.

Setelah mencapai kemerdekaan dari jajahan kolonialisma Eropah, kebanyakan negara mengembalikan semula amalan ijtihad seiring dengan usaha mengkanunkan dan mengubahsuai undang-undang, walaupun kebanyakannya mengikut kaedah talfiq (penggabungan) atau takhayyur (pemilihan) yang menggantikan peruntukan-peruntukan tertentu dengan peruntukan dari mazhab-mazhab lain yang dirasakan kurang mendiskriminasi.

Dalam beberapa dekad terbaru ini, terdapat golongan terpelajar yang menganjurkan supaya diadakan penggubalan undang-undang baru berdasarkan kepada pendekatan kesaksamaan, walau memerlukan perubahan/perpindahan dari pentafsiran mazhab-mazhab utama sekalipun. Alasannya, para ulama adalah bertanggungjawab untuk memperkukuhkan dan menyeru ke arah ajaran-ajaran Quran (shariah), bukan semata-mata menegakkan ajaran-ajaran ulama-ulama terdahulu (fiqh) .

Sejarah undang-undang Islam menunjukkan bahawa terdapat perbezaan antara Shariah (kekal dan tidak berubah sebagaimana yang diturunkan kepada Rasulullah saw) dan fiqh (pentafsiran shariah oleh kaum manusia melalui proses ilmu undang-undang dan agama). Fiqh, iaitu undang-undang Islam yang terpakai di kalangan umat Islam, sentiasa berkembang maju sepanjang zaman dan tidak bersifat tetap.

Undang-undang Shariah bersifat suci dan tidak berubah, manakala fiqh pula ialah hasil daripada usaha ilmu manusia. Hakikat bahawa setiap negara Islam mempunyai undang-undang yang berbeza menunjukkan bahawa undang-undang tersebut bukanlah undnag-undang shariah yang diturunkan tetapi ialah fiqh yang ditafsirkan dan dikanunkan oleh para manusia. Oleh yang demikian, undang-undang ini boleh diubahsuai bagi mencerminkan ajaran Al-Quran yang sebenar dan juga dapat membawa lebih kebaikan dan manfaat kepada masyarakat Islam hari ini.

Pembaharuan terhadap Undang-Undang Keluarga Islam seluruh dunia.

Kebanyakan peruntukan dalam Al-Quran mengenai perkahwinan dan perceraian adalah bersifat umum dan universal. Oleh yang demikian, ianya mempunyai ruang luas untuk pentafsiran . Para ulama terdahulu lebih terhad dalam pentafsiran mereka terhadap hak-hak wanita dalam keluarga kerana pengaruh sosiobudaya masyarakat ketika itu. Oleh kerana pengetepian dan penundukan kaum wanita adalah ciri-ciri universal dalam masyarakat, baik dalam masyarakat Islam mahupun masyarakat yang menganut fahaman lain, ulama pada masa itu menerapkan nilai-nilai patriarki dan fahaman budaya tersebut terhadap kontrak perkahwinan pada kebiasaannya (rujuk Jadual 2).

Bagaimanapun, para terpelajar masakini berpendapat bahawa fiqh manusia mengandungi beberapa kelemahan, terutamanya kerana ia mencerminkan konteks dan norma-norma social yang lampau, dan masyarakat hari ini perlu mengambilkira pengalaman dan keadaan semasa apabila menguatkuasakan objektif shariah (maqasid al shariah). Justeru itu, wanita dan lelaki perlu mempunyai hak-hak dan tanggungjawab yang samarata.

Sejak pertengahan abad ke 20, arah pembaharuan undang-undang ialah untuk menegakkan kesamarataan hak dan keadilan dalam Al Quran, dan bukannya terikat bulat-bulat kepada pentafsiran masa lampau.

Contoh-contoh termasuk:

 Reformasi terhadap undang-undang berdasarkan kesamarataan hak.
Pada Oktober 2004, Pasukan Tugas Khas yang dibentuk oleh Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia mengemukakan satu deraf alternatif kepada Kompilasi Hukum Islam negara tersebut – deraf tersebut dirumus berdasarkan kesamarataan hak antara jantina.

Pada Februari 2004, kerajaan Morocco mengumumkan pembaharuan utama terhadap Undang-undang Keluarga (mudawwana) yang “selaras dengan semangat agama kita yang bertoleransi dan tolak ansur...yang bertujuan menghapuskan ketidakadilan terhadap wanita, melindungi hak kanak-kanak dan menjaga kehormatan dan maruah lelaki.” Undang-undang tersebut menegakkan prinsip kesamarataan hak antara lelaki dan wanita, membolehkan poligami hanya dengan syarat-syarat ketat dan tertakluk kepada pengawasan kehakiman yang menjadikan amalan poligami hampir mustahil berlaku; membenarkan perceraian kepada kedua-dua pihak suami dan isteri dengan alasan tidak kesefahaman, melambangkan keprihatinan terhadap keadilan dan kesaksamaan dalam undang-undang dan memperkukuhkan hak-hak tambahan dan perlindungan bagi kanak-kanak.

Pada tahun 2001, Turki menggubal Kanun Sivil yang memberi definasi “keluarga” sebagai satu kesatuan yang berdasarkan perkongsian samarata antara pasangan suami-isteri yang secara bersama-sama menguruskan rumahtangga tersebut dengan kuasa samarata dalam membuat keputusan. Pindaan perlembagaan tahun 2001 mengolah semula definasi keluarga sebagai entiti yang berdasarkan kesamarataan hak antara pasangan dalam rumahtangga .Kerajaan baru di bawah pimpinan Parti Kemajuan dan Keadilan Islam menerima pembaharuan-pembaharuan tersebut dan dalam tahun 2004 Parti tersebut meminda Kanun Keseksaan (Penal Code) bagi menyelaras kesamarataan hak antara jantina dan perlindungan terhadap hak wanita terutamanya yang berkaitan dengan hak –hak seksual dan tubuh badan.

 Perceraian
Pada Januari 2000, kerajaan Mesir menggubal undang-undang yang membenarkan wanita bercerai (khul’) dengan sebab ketidaksefahaman. Dengan itu, pihak isteri yang memohon perceraian tidak lagi terpaksa menunggu keputusan mahkamah yang dibuat berdasarkan bukti-bukti substantif dan keterangan sokongan berkenaan layanan buruk atau salah laku secara fizikal dari suami, sebaliknya permohonan mengikut undang-undang ini dibenarkan sebaik sahaja pihak isteri mengembalikan mahr (mas kahwin).

Kanun Status Peribadi Tunisia 1956 menghapuskan semua bentuk perceraian di luar Mahkamah berdasarkan firman Allah dalam Al Quran.
(iaitu dalam Al Baqarah 2:29 dan An Nisa 4:35)

Pada tahun 1967, Mahkamah Agung Pakistan, dengan berpandukan ayat-ayat Quran yang tersebut di atas, telah memperluaskan hak wanita dalam perceraian, dengan memutuskan bahawa Mahkamah boleh menghukumkan khul’ tanpa kerelaan suami, sekiranya Mahkamah mendapati bahawa adalah mustahil bagi pihak-pihak tersebut mencapai keharmonian dalam perkahwinan.


 Poligami
Beberapa negara menghadkan amalan poligami berdasarkan pentafsiran Surah An Nisa 4:3 dan 4:129, di mana dikhuatiri akan wujud ketidakadilan di kalangan isteri-isteri dalam hampir semua kes poligami. Oleh itu, amalan poligami harus dibanteras atau dikawal dengan syarat-syarat ketat serta terhad kepada situasi dan keadaan yang benar-benar luarbiasa.

Kanun Status Peribadi Tunisia 1965 menyatakan bahawa poligami adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Undang-undang Jordan membenarkan isteri meletakkan syarat dalam kontrak perkahwinan bahawa suami tidak dibenarkan berkahwin dengan wanita lain dan isteri berhak untuk perceraian sekiranya suami ingkar terhadap syarat tersebut.

Kebanyakan negara termasuk Malaysia meletakkan syarat bahwa poligami tertakluk kepada kebenaran Mahkamah, berdasarkan syarat-syarat dan peraturan-peraturan tertentu yang boleh dikuatkuasakan dengan ketat.

 Syarat-syarat dalam Kontrak Perkahwinan (ta’liq)
Kebanyakan negara-negara di Timur Tengah (termasuk Iraq, Jordan, Syria dan Arab Saudi), benua kecil Indo-Pakistan dan Asia Tenggara membenarkan pihak-pihak dalam perkahwinan untuk bersetuju terhadap syarat-syarat dalam kontrak perkahwinan; perlanggaran syarat-syarat boleh dijadikan alasan untuk perceraian secara ta’liq.

Contoh syarat termasuk: suami tidak dibenarkan berkahwin dengan wanita lain ketika masih berkahwin dengan isteri pertama, suami mesti memperuntukkan wang untuk sara hidup, suami tidak boleh melayan isteri secara kejam atau memukul isteri . Ta’liq telah digunakan sejak zaman dahulu, contoh terbaik ialah dalam kes Sukayna bt Hussein, cicit kepada Nabi Muhammad s.a.w, tetapi kemasukan syarat-syarat tambahan dalam kontrak perkahwinan bagi melindungi hak-hak wanita tidak dipupuk secara meluas di Asia Tenggara.


 Peruntukan Kewangan
Pindaan tahun 1992 terhadap Undang Undang Perceraian Iran membenarkan bayaran terhadap tugas-tugas rumahtangga (dikira dengan meletakkan nilai/harga terhadap kerja rumah) untuk kerja-kerja yang dilakukan oleh isteri sepanjang tempoh perkahwinan, sekiranya perceraian berlaku bukan dengan kehendak isteri atau bukan kerana kesilapan isteri.

Malaysia memperuntukkan pembahagian harta sepencarian. Isteri yang tugas-tugasnya di rumah secara tidak langsung menyumbang kepada keupayaan suaminya untuk memperoleh harta, berhak menuntut bahagian sepertiga dari harta yang diperolehi semasa perkahwinan. Isteri berhak menuntut seperdua dari harta jika dapat dibuktikan bahwa beliau menyumbang secara langsung terhadap perolehan harta tersebut. Tuntutan boleh dibuat setelah berlaku perceraian atau sebelum suami berkahwin lain (poligami).

Kenapa perlunya pembaharuan terhadap Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia?

Undang-Undang Islam di Malaysia perlu diperbaharui kerana ianya mendiskriminasi terhadap kaum wanita (rujuk Jadual 3). Walaupun ajaran dalam Quran menyatakan dengan jelas bahawa lelaki dan wanita itu adalah samarata, peruntukan undang-undang pula menunjukkan hak lelaki melebihi hak wanita. Pindaan terhadap Undang-Undang Keluarga Islam di kebanyakan Negeri sejak tahun 1990an lebih mundur dan tidak menyokong hak wanita, malahan lebih memudaratkan dan bukannya memanfaatkan mereka, oleh itu ia menunjukkan perlunya pembaharuan terhadap undang-undang tersebut.

Diskriminasi dan ketidaksamarataan hak boleh dilihat dari peruntukan-peruntukan mengenai:
-Umur untuk berkahwin - wanita boleh berkahwin pada umur yang lebih muda dari lelaki, tiada had umur minima untuk berkahwin di negeri Perak.
-Ijbar (kahwin paksa) di Kelantan dan Kedah, sekiranya wanita tersebut masih anak dara, wali mujbir (bapa atau datuk sebelah bapa) boleh menikahkan wanita tersebut dengan seorang lelaki yang sekufu tanpa persetujuan wanita tersebut.
-Pendaftaran perkahwinan - sesuatu perkahwinan itu boleh didaftarkan walaupun bertentangan dengan undang-undang.
-Saksi - Hanya lelaki boleh menjadi saksi dalam perkahwinan.
-Poligami - seorang lelaki boleh berkahwin dengan 4 orang wanita, dengan tertakluk kepada beberapa syarat di sesetengah negeri.
-Nusyuz - hanya isteri sahaja yang boleh dihukum kerana nusyuz, bukan suami, walaupun dalam Quran ada menyebut nusyuz untuk menjelaskan perbuatan suami, undang-undang di setengah negeri tidak menjelaskan apakah perbuatan yang mensabitkan nusyuz.
-Perceraian - suami boleh menceraikan isteri tanpa persetujuan atau kerelaan isteri, di luar mahkamah, isteri hanya boleh bercerai dengan persetujuan suami atau melalui prosiding mahkamah yang berlarutan.
-Mut’ah (pampasan kewangan dari suami kepada isteri dibayar setelah berlaku perceraian dengan talaq atau dengan sebab kesalahan pihak suami): Jumlah pada kebiasaannya agak rendah dan tidak wajar, walaupun suami mempunyai sumber kewangan; jumlah ditentukan mengikut budi bicara Mahkamah.
-Hak penjagaan - hak penjagaan anak di sisi undang-undang sentiasa dengan suami, tidak pernah dengan isteri, atau dikongsi oleh kedua pihak.

Undang-undang negara dan undang-undang antarabangsa menghendaki supaya pembaharuan dibuat. Perlembagaan Persekutuan melarang diskriminasi berdasarkan jantina. Undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen bagi Menghapuskan Sebarang Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia, menuntut supaya negara-negara bertindak menghapuskan diskriminasi terhadap wanita dan mewujudkan kesamarataan hak antara lelaki dan wanita.

Pembaharuan yang berterusan

Apabila cadangan untuk pembaharuan terhadap undang-undang Islam dikemukakan, seringkali wujud tentangan dan kebimbangan bahawa agama Islam itu sendiri akan berubah. Walaupun difahami bahawa ramai yang berpendapat “undang-undang Islam” adalah suci dan tidak boleh diubah, renungan secara terperinci dan mendalam terhadap sejarah dan perkembangan undang-undang tersebut menunjukkan bahawa pembaharuan terhadap undang-undang tersebut tidak akan menggugat Islam kerana undang-undang ini adalah fiqh fahaman manusia, bukannya undang–undang asal sebagaimana yang diwahyukan. Prinsip shariah yang asas adalah muktamad, manakala prinsip fiqh pula, yang merupakan pentafsiran manusia mengenai prinsip asal shariah, tidaklah bersifat muktamad. Oleh yang demikian, fiqh boleh dan telah, sejak berzaman-zaman lagi diubahsuai supaya lebih selaras dengan ajaran Al Quran dan Sunnah dengan juga mengambilkira masyarakat Muslim hari ini.

Arah pembaharuan undang-undang di kalangan umat Islam di seluruh dunia bukanlah suatu yang luarbiasa. Pihak berkuasa undang-undang dan agama di negara-negara Islam lain mengakui terdapat aspek-aspek permasalahan dalam undang-undang keluarga mereka yang terkini dan sudah atau sedang memperbaharuinya supaya lebih adil dan saksama. Permulaan ke arah pembaharuan undang-undang adalah satu langkah yang tepat bagi Malaysia.
JADUAL 3
Amalan terbaik dalam Isu Undang-Undang Keluarga Islam

Isu Undang-Undang Keluarga Islam Amalan terkini di Malaysia Amalan terbaik di kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia

Umur untuk berkahwin
Umur minima untuk berkahwin ialah 16 tahun bagi wanita dan 18 tahun bagi lelaki. Hakim Mahkamah Syariah boleh menggunakan budi bicaranya untuk memberikan kebenaran bertulis bagi perkahwinan pihak-pihak yang bawah umur.

Morocco: Di bawah Kod Status Peribadi (2004), umur untuk berkahwin yang diiktiraf undang-undang ialah 18 tahun untuk lelaki dan wanita.

Persetujuan untuk berkahwin
Persetujuan dari kedua-dua pihak adalah mandatori kecuali di Kelantan dan Kedah, di mana untuk seorang wanita yang masih anak dara, wali mujbir (bapa atau datuk sebelah bapa) boleh menikahkannya dengan lelaki yang sekufu dengannya, tanpa persetujuan dari wanita tersebut.

Tanzania: Tiada perkahwinan tanpa persetujuan yang diberi secara sukarela dan bebas, oleh kedua-dua belah pihak.
Tunisia: Tiada perkahwinan tanpa persetujuan pihak-pihak; persetujuan hendaklah diberi dalam bentuk yang tidak dapat dipertikaikan dengan menyebut “ya”di hadapan pegawai yang menjalankan upacara.

Wali dalam perkahwinan
Persetujuan wali adalah perlu untuk pihak perempuan walaupun beliau boleh memohon kepada hakim untuk bersetuju menjadi wali hakim jika walinya (bapa atau saudara lelaki), tanpa sebab munasabah, enggan memberi persetujuan.
Tunisia: Kedua-dua pihak mempunyai hak untuk menjalankan perkahwinan sendiri atau melantik proxy (wakil).
Sri Lanka, Bangladesh dan Pakistan (di bawah mazhab Hanafi): wali tidak diperlukan untuk perkahwinan seorang wanita yang telah baligh.
Cameroon, Fiji, Gambia, Turkey, Uzbekistan dan Republik Kyrgyz: Wali tidak diperlukan.


Saksi dalam perkahwinan
Enakmen negeri Kelantan mensyaratkan perlunya saksi lelaki. Amalan di negeri-negeri lain juga ialah saksi lelaki, walaupun tidak disebut secara jelas dalam undang-undang.

Senegal: Dua orang saksi dewasa diperlukan, seorang untuk setiap pihak. Jantina saksi tidak dikhususkan.

Poligami
Poligami memerlukan kebenaran dari Mahkamah Shariah. Syarat-syarat berbeza sedikit antara 13 negeri. Denda dikenakan jika gagal mematuhi prosidur.
Tunisia: Mana-mana lelaki yang berpoligami boleh dipenjara selama setahun atau denda 240,000 francs, atau keduanya. Seorang wanita yang, secara sedar, mengambil bahagian dalam perkahwinan poligami juga tertakluk kepada hukuman yang sama. Perkahwinan tersebut boleh di mansuhkan samada oleh pihak-pihak, penjaga, ibu atau pegawai undang-undang.


Nusyuz
Nusyuz dijelaskan sebagai keingkaran oleh pihak isteri. Wanita yang dengan sengaja mengingkari perintah suaminya yang sah mengikut hukum syara’ dianggap melakukan satu kesalahan dan boleh didenda. Isteri juga tidak berhak mendapat nafkah sekiranya beliau ingkar.
Turki: Institusi keluarga berasaskan persamaan antara pihak-pihak dan kedua-duanya mempunyai hak bersama dalam membuat keputusan berkenaan keluarga.
Indonesia: Hak dan tanggungjawab isteri adalah sama dengan suami dalam urusan rumahtangga dan hal ehwal sosial masyarakat.
Tunisia: Pihak-pihak hendaklah melayan sesama sendiri dengan kebaikan, menjadikan kehidupan berumahtangga bahagia, dan menahan diri dari mengancam kehidupan satu sama lain


Perceraian
Lafaz perceraian suami di luar Mahkamah, walaupun melalui SMS, diiktiraf, dengan syarat suami membayar denda. Isteri yang memohon perceraian selalu berhadapan dengan pelbagai kelewatan dan perlu menjalani proses perdamaian dan timbangtara tanpa sebarang had masa.






Indonesia: Seorang suami di bawah undang-undang Islam hendaklah memberi kepada Mahkamah notis bertulis mengenai niatnya untuk bercerai, terdapat 6 sebab untuk bercerai kepada kedua suami dan isteri, sebelum perjumpaan untuk perdamaian dibuat secara berasingan, di mana sekiranya gagal, pihak mahkamah akan memanggil pihak-pihak untuk menjadi saksi kepada perceraian. Perceraian yang boleh dibatalkan adalah tidak dibenarkan.
Tunisia: Perceraian hanya boleh berlaku di Mahkamah.Terdapat alasan yang sama untuk perceraian antara suami dan isteri termasuk” atas kerelaan suami atau atas permintaan isteri”.


Mut’ah
(bayaran pampasan dari suami kepada isteri, dibayar selepas bercerai secara talaq atau di mana kesalahan berada di pihak suami)
Wanita yang diceraikan tanpa sebab munasabah boleh memohon mut’ah tetapi jumlahnya ditentukan oleh budi bicara Mahkamah.
Tunisia: seorang wanita yang diceraikan tanpa sebab munasabah, boleh diberikan mut’ah dalam bentuk sejumlah besar wang, pindahmilik harta atau ansuran bulanan. Jumlah yang dibayar kepada wanita tersebut hendaklah ditentukan berdasarkan taraf kehidupan yang biasa baginya.
Turki: Pihak yang tidak bersalah dan pihak yang mengalami kerugian terhadap kepentingan sebenar atau akan datang akibat perceraian boleh menuntut gantirugi, dibayar secara bulanan atau sekaligus.


Hak untuk memelihara dan hak jagaan
Pertimbangan yang paling utama ialah kebajikan dan kepentingan anak tetapi berkenaan anak yang masih kecil, diandaikan bahawa adalah untuk kebaikan anak tersebut sekiranya anak dijaga oleh ibu, sekiranya ibu tidak berkahwin lain. Hak penjagaan sentiasa berada dengan bapa.
Cameroon & Republik Asia Tengah: Hak tempat tinggal dan hak jagaan boleh diberikan kepada salah seorang, ibu atau bapa, dengan mengambilkira kepentingan anak tersebut sebagai keutamaan.
Tunisia: Kedua ibu bapa mempunyai hak bersama untuk memelihara dan menjaga semasa perkahwinan dan Mahkamah dalam menentukan hak jagaan akan mengambilkira kepentingan anak tersebut sekiranya berlaku perceraian. Jika hak memelihara diberi kepada ibu, hak penjagaan berkenaan perjalanan,pelajaran dan hal ehwal kewangan adalah di bawah kuasa ibunya .



Pengstrukturan gender dalam Teori Undang-Undang Islam (1)

Fiqh, atau pentafsiran undang-undang Shariah, telah dijadikan kanun undang-undang oleh mazhab-mazhab utama ketika lingkungan abad ke 8 hingga 11 CE, iaitu antara jangkamasa 120 hingga 400 tahun selepas kewafatan Rasullullah saw. Undang-undang tentang kewujudan dan penamatan kontrak perkahwinan yang telah dirangka oleh ulama-ulama terdahulu ketika itu, walaupun hampir berusia 1000 tahun, masih mempengaruhi undang-undang perkahwinan dan perceraian hari ini.

Walau bagaimanapun, konsep gender yang telah dijadikan kanun oleh mazhab-mazhab utama, adalah tidak seragam dan tidak konsisten, malahan saling bertentangan dan berlawanan sesama sendiri. Setiap mazhab mempunyai undang-undang substantif yang berbeza meliputi soal perkahwinan dan perceraian, tanpa ada mana-mana idea yang “tulin” dan sebulat suara tentang hak-hak dan tanggungjawab pihak suami dan isteri dalam perkahwinan. Sejak 1000 tahun yang lalu, undang-undang substantif tersebut telah dipinda, namun ketidaksamaan hak antara suami dan isteri masih lagi wujud secara berterusan. Hal ini menunjukkan walaupun shariah itu bersifat sejagat, tunggal dan tidak berubah, fiqh pula adalah bersifat setempat, pelbagai dan tertakluk kepada perubahan.

Walaupun undang-undang substantif berbeza-beza antara mazhab, konsep perkahwinan adalah sama. Ulama-ulama berpendapat perkahwinan ialah satu urusniaga yang memberikan suami hakmilik atau kawalan terhadap isteri/ isteri-isteri, terutamanya terhadap organ seks isteri (farj). Oleh itu, perkahwinan telah dirangka menurut istilah-istilah dagangan dan milikan, di mana ulama sering mengumpamakan perkahwinan dengan institusi perhambaan, suami dengan tuan, isteri dengan hamba. Sebagai pertukaran kepada mas kahwin (mahr), suami memperolehi hakmilik, dalam bentuk akses seksual terhadap isteri. Isteri hendaklah sentiasa bersedia memenuhi kehendak seks suami setiap masa, sebagaimana juga suami mempunyai kawalan mutlak terhadap pergerakan isteri di dalam dan di luar rumah. Sebagai balasan, suami hendaklah menyara dan menanggung isteri, sehingga ke tahap di mana sesetengah pendapat dari mazhab Maliki, Hanafi dan Shafi’i menyebut bahawa isteri tidak bertanggungjawab untuk tugas-tugas memasak atau membuat kerja-kerja rumah untuk dirinya dan suami.

Ulama Maliki yang terkemuka ketika itu, Shaykh Khalil menulis,”Mas kahwin adalah umpama harga belian. Apabila seorang wanita berkahwin, dia menjual sebahagian dirinya. Di pasar, seorang membeli barangan, dalam perkahwinan suami membeli organ seks atau genital artum mulierus isteri. Seorang ulama terkemuka Shi’a Muhaqqiq Al Halli menulis bahawa perkahwinan ialah satu kontrak di mana objeknya ialah dominasi terhadap farj, tanpa memperolehi hakmilik terhadapnya. Al Shafi’i pula dalam kitab Al Umm berkata, ”Antara hak suami ialah untuk bersuka-suka dengan isterinya (istimata’a minha).”

Berdasarkan undang-undang fiqh klasik, ketidaksamaan hak antara lelaki dan wanita diambil sebagai satu prinsip tanpa disoal. Wanita dianggap sebagai objek seks, bukannya objek sosial. Perbezaan antara perempuan simpanan, hamba dan isteri menjadi terpesong.

Konsep ini dapat dijelaskan sebahagiannya melalui konteks sosio-sejarah ketika itu. Zaman tersebut merupakan era hierarki, penstrataan sosial dan amalan perhambaan yang berleluasa, di mana lelaki dari golongan atasan mempunyai akses terhadap wanita untuk digunakan sebagai hamba atau untuk pasangan seks. Tambahan pula, amalan-amalan masyarakat Arab pada zaman pra Islam dan budaya tempatan yang berbeza mengikut tempat asal ulama-ulama tersebut juga mempengaruhi perkembangan fiqh.

Walau bagaimanapun, konsep perkahwinan tersebut mengalami perubahan yang penting dalam abad yang lepas, dipengaruhi oleh konsep Victorian; di mana konsep suami sebagai pencari nafkah utama keluarga dan wanita sebagai suri rumahtangga, menggantikan konsep saraan hidup sebagai balasan suami kepada isteri untuk memperolehi kepuasan seksual. Sebuah ‘buku panduan’ perkahwinan dalam Islam yang diterbitkan pada tahun 1972 menyebut tanggungjawab lelaki sebagai pelindung, pemberi kebahagiaan dan penyedia sara hidup untuk isteri, manakala tanggungjawab isteri ialah memasak, membasuh, mencuci dan menguruskan hal-hal rumahtangga yang lain. Idea ini jauh berbeza dengan pendapat dari 3 mazhab utama yang berpendapat wanita tidak bertanggungjawab menguruskan hal ehwal rumahtangga. Ia juga menunjukkan bahawa konsep tentang peranan gender dan sistem perkahwinan yang memberi kelebihan kepada lelaki ialah rekaan dan pendapat ulama-ulama terdahulu dan dibentuk mengikut situasi dan keadaan zaman tersebut, dan ianya tidak termaktub dalam Al-Quran, tetapi berasal dari pentafsiran para ulama tersebut.

Pada hakikatnya, konsep perkahwinan dan peranan sosial wanita adalah bertentangan dengan pengertian keadilan dan saksama terhadap wanita yang disarankan dalam Al Quran dan sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah saw, begitu juga dengan idea-idea berkenaan peranan sosial yang kita fahami hari ini. Hak-hak yang dibentuk berdasarkan konsep jantina dalam fiqh bersejarah tidak lagi berupaya mencapai objektif, keadilan, kesaksamaan dan persamaan hak dalam masyarakat hari ini, padahal tujuan pencapaian keadilan merupakan unsur utama berkaitan dengan objektif atau maqasid al shariah. Walaupun undang-undang yang mendiskriminasi berdasarkan jantina itu mungkin sebenarnya berniat mencapai keadilan dalam masyarakat hierarki di mana ianya digubal, namun undang-undang tersebut tidak dapat diterima pakai dalam perspektif moden hari ini. Masyarakat Islam hari ini perlu menggubal satu perundangan baru berdasarkan konsep perkahwinan yang disarankan oleh Al Quran (2) dan undang-undang tersebut perlu relevan dengan perubahan terkini tentang peranan dan tanggungjawab wanita dan lelaki dalam masyarakat hari ini.


1) Dipetik dari Kecia Ali, ”Progressive Muslims and Islamic Jurisprudence: The Necessity for Critical Engagement with Marriage and Divorce Law”, I Omid Safi, ed., Progressive Muslims on Justice, Gender and Pluralism, Oxford:Oneworld Publications,2003; Ziba Mir Hoesseini, ”The Construction of Gender in Islamic Legal Thought :Strategies to Reform”, in Hjh Nik Noriani Nik Badli Shah, ed., Islamic Family Law and Justice for Muslim Women, Kuala Lumpur: Sisters in Islam,2003.
2) “Orang–orang Muslim, lelaki dan perempuan, (Mu’minun wal Mu’minat) mereka adalah pelindung kepada satu sama lain,” (al Tawbah 9:71) dan suami isteri itu umpama pakaian kepada satu sama lain (al-Baqarah 2:178)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar